Yang Menarik Kali ini...

Followers

Sunday, December 18, 2011

Dah jatuh ditimpa JPJ !!!

Pengadu tak puas hati dikenakan tindakan ketika hadir ke Kompleks JPJ

Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 17, 2011

PADANG JAWA - Hasrat untuk membayar cukai jalan namun lain pula jadinya apabila tidak sampai dua jam menjelaskan bayaran tersebut, seorang penjawat awam disaman pula oleh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor yang menjalankan operasi penguatkuasaan di pintu masuk Kompleks JPJ Shah Alam, di Padang Jawa, kelmarin.
Pengadu yang hanya ingin dikenali Razli, 30-an mendakwa, dia bersama tiga rakan ke kompleks berkenaan untuk membayar cukai jalan RM600 bagi kereta Proton Wiranya kira-kira jam 10.30 pagi.
“Namun sebaik selesai urusan saya dan rakan terkejut apabila disaman oleh anggota JPJ yang menjalankan operasi pemeriksaan di pintu masuk Kompleks itu sekitar jam 12 tengahari.
“Saya disaman kerana tidak pakai tali pinggang dengan denda RM300. Saya akui memang kesilapan saya namun apa yang saya kesalkan kenapa anggota JPJ harus menjalankan operasi di pintu masuk kompleks yang juga kawasan Kompleks JPJ (pintu pengawal keselamatan)?
“Apa yang berlaku disifatkan sebagai tidak bertepatan dan langsung tidak mesra pelanggan kerana saya difahamkan JPJ mengamalkan sikap mesra pelanggan namun apa yang berlaku sebaliknya,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, tindakan ini menakutkan orang ramai untuk datang melaksanakan sebarang urusan di Kompleks JPJ.
Dalam pada itu, pengadu turut mendakwa terdapat ramai lagi orang ramai yang menerima nasib yang sama dengannya yang disaman atas pelbagai kesalahan ketika mengunjungi kompleks itu untuk berurusan.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor, Ahmad Awang berkata, JPJ Negeri Selangor sentiasa mempertingkatkan usaha untuk mengesan pemandu dan kenderaan yang melanggar peraturan dan undang-undang jalan raya.
Beliau berkata, langkah ini dilaksanakan supaya orang ramai sedar dan bertanggungjawab dengan mematuhi undang-undang sama ada semasa memandu selain keperluan undang-undang ke atas sesuatu kenderaan untuk digunakan di atas jalan raya mahupun di mana-mana kawasan awam.
Berkaitan dengan rungutan pelanggan yang tidak berpuas hati dengan tindakan saman oleh anggota JPJ ketika berurusan di kawasan kompleks JPJ Shah Alam Padang Jawa, Ahmad berkata, untuk makluman tindakan penguatkuasaan dalam kawasan berkenaan dibuat ekoran pihaknya sering mendapat aduan daripada orang ramai.
Katanya, mereka minta supaya JPJ mengambil tindakan terhadap kenderaan yang sering keluar masuk dalam kawasan JPJ yang kelihatan memasang cermin gelap serta mempamerkan nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan.
“Kenapa JPJ tidak boleh ambil tindakan terhadap golongan ini sedangkan secara jelas mereka melakukan kesalahan dan begitu berani melanggar peraturan dalam kawasan agensi yang menguatkuasakan undang-undang jalan raya.
“Sehubungan itu, anggota kami sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan terhadap pesalah yang berada dalam kawasan Kompleks JPJ selaras dengan peruntukan undang-undang Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya sebagai maklum balas terhadap dakwaan pengadu.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

No comments:

continue reading

Related Posts with Thumbnails