Yang Menarik Kali ini...

Followers

Friday, July 10, 2009

Di sebalik tabir harga Ayam

Apa sebenarnya di sebalik isu harga ayam pada bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya? Semua orang tahu kini harga siling ayam yang diproses ialah RM6 sekilogram. Malah orang juga tahu bahawa harga siling yang diberikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan dilanggar oleh pemborong, peruncit dan penjual ayam.

Kenaikan harga ayam pada setiap Ramadan dan menjelang Hari Raya bukan isu baru. Setiap tahun isu yang sama dikitar semula dan yang menang adalah penternak, pemborong, peruncit dan penjual. Pengguna yang ada hubungan dengan Ramadan dan Hari Raya selalu beralah dan kalah.

Kalau ditinjau selangkah ke depan, kita akan dapati bahawa isu harga ayam hanya tercetus ketika Ramadan dan menjelang Hari Raya. Isu harga ayam tidak berlaku menjelang perayaan Tahun Baru Cina. Pemborong dan peruncit tidak melalak meminta harga ayam dinaikkan menjelang Tahun Baru Cina. Kenapa?

Dalam isu harga ayam tahun ini, persatuan penternak memberi alasan kos bahan makanan ayam meningkat. Maka rasionalnya harga ayam perlu dinaikkan untuk menampung kos yang tinggi itu. Kita tidak menafikan kos makanan ayam meningkat tetapi peningkatan itu bukan berlaku hanya pada bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya.

Peningkatan berlaku secara berterusan tetapi harga tidak dinaikkan ketika Tahun Baru Cina. Kenaikan hanya pada Ramadan dan menjelang Hari Raya kerana sikap pengguna yang terdiri daripada orang Melayu yang seolah-olah tidak boleh hidup tanpa ayam.

Kenapa penggunaan ayam meningkat pada Ramadan dan menjelang Hari Raya sedangkan jumlah pengguna adalah sama? Tentulah jawapannya orang Melayu melipatgandakan penggunaan ayam. Sedangkan hakikatnya makanan orang Melayu bukan saja yang berasaskan ayam.

Sekarang ini persatuan penternak ayam dan itik yang kecil pun sudah boleh bersuara lantang meminta dinaikkan harga. Kita kena terima hakikat bahawa majoriti penternak dan pembekal ayam bukanlah orang Melayu. Orang Melayu cuma mengeluh kerana kenaikan harga ayam tetapi mereka tetap membeli ayam.

Adakah kenaikan harga ayam pada setiap Ramadan suatu yang disengajakan? Atau adakah tidak ada kenaikan harga ayam pada setiap kali Tahun Baru Cina hanya satu kebetulan? Kita patut melihat isu ini secara mendalam tentang kecenderungan berlakunya manipulasi. Ini berlaku apabila sesuatu kaum menjadi pembekal yakni penternak dan pemborong, maka kepentingan kaum lain tidak dihiraukan.

Perayaan Tahun Baru Cina sama meriahnya dengan Hari Raya. Tetapi apabila tidak ada isu kenaikan harga ayam menjelang Tahun Baru Cina, tentulah kenaikan yang berlaku sekarang suatu yang disengajakan. Ini memberitahu kita bahawa Tahun Baru Cina Februari depan tidak ada kenaikan harga ayam kerana sudah naik ketika orang Melayu menyambut Ramadan.

Pada awal Januari lalu Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia mengumumkan harga ayam di seluruh negara turun antara 80 sen hingga RM1.06 satu kilogram. Malangnya penurunan tidak berlaku semasa Ramadan dan menjelang Hari Raya.

Kita terpaksa terima hakikat bahawa orang Melayu dalam bidang penternakan ayam adalah sangat kecil. Barangkali sekiranya separuh daripada penternak dan pemborong terdiri daripada orang Melayu, persatuan penternak ayam tidak mendesak kerajaan menaikkan harga ketika perayaan yang melibatkan orang Melayu.

Kalau hendak dikira kenaikan kos bahan makanan ayam, bahan makanan binatang ternakan lain seperti lembu atau kambing juga meningkat. Kenapa harga daging lembu dan kambing tidak pernah dijadikan isu atau memberi masalah kepada pengguna Melayu?

Apa yang dilakukan oleh KPDNHEP sekarang bukan tidak baik tetapi tidak memberikan kesan jangka panjang untuk menstabilkan harga ayam di pasaran. Selagi bekalan ayam dimonopoli oleh sesuatu kaum, selagi itulah harga ayam akan terus dibangkitkan tahun-tahun akan datang.

Tahun depan persatuan penternak ayam yang kecil akan bersuara lagi, mereka akan meminta dinaikkan harga dengan alasan yang sama; kos makanan ayam meningkat. Sekali lagi pengguna yang menyambut Ramadan dan Hari Raya akan menjadi mangsa dan keuntungannya hanya kepada penternak, pemborong dan peruncit.

Pemborong dengan sengaja akan menekan peruncit dengan harga yang tinggi. Peruncit pula yang ada penjual di bawah mereka mengenakan harga yang tinggi juga dan akhirnya penjual ayam di pasar-pasar basah terpaksa melanggar harga siling.

Maka kerana itu orang Melayu yang menjadi pengguna juga wajar dipersalahkan kerana menyumbang kepada kenaikkan harga ayam. Sebahagian besar orang Melayu menjadikan Ramadan dan Hari Raya sebagai pesta makan ayam sedangkan mereka mempunyai banyak pilihan selain ayam. Mereka boleh memulaukan ayam yang dinaikkan harga dan kita boleh tengok apakah harga akan terus dinaikkan atau sebaliknya?

Bayangkan kalau Ramadan ini separuh daripada orang Melayu memulaukan ayam. Kita boleh melihat kesan positifnya yang jauh lebih besar daripada kawalan harga siling oleh kerajaan. Persatuan penternak ayam pernah mengugut membunuh anak-anak ayam sekiranya tuntutan mereka untuk menaikkan harga tidak diikuti.

Sebenarnya persatuan yang bertindak seperti itu tidak wajar dilayan dan biarkan kalau benar mereka hendak membunuh berjuta-juta anak ayam sekali pun. Orang Melayu boleh hidup tanpa ayam dan Ramadan serta Hari Raya tidak akan hilang meriahnya.


PENAFIAN KERAS OLEH AKU... tak ada unsur unsur racism dalam diri aku terhadap post ini tau.

No comments:

continue reading

Related Posts with Thumbnails